PAS Anjur Solat Hajat Di Wisma Tok Guru

Satu majlis kesyukuran dan solat hajat akan diadakan di pekarangan Wisma Tok Guru sebaik sahaja notis pengosongan bangunan itu berakhir 16 November ini.

Setiausaha PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi memberitahu, ia sebagai tanda kesyukuran rakyat setelah bangunan itu menjadi milik PAS.

“Ramai yang menghabis tenaga dan kewangan demi mendirikan bangunan ini. Majlis ini dibuat sebagai tanda kesyukuran setelah tamat tempoh notis pengosongan keluar.

“Ini adalah proses biasa yang dibuat melalui pemegang amanah, kita ada perancangan terhadap bangunan tersebut,” katanya.

Baru-baru ini, Pengerusi PAN negeri, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dilaporkan berkata, PAN tidak akan mengosongkan Wisma Tok Guru selagi tidak ada keputusan daripada mahkamah berhubung kes berkenaan.

Sebelum itu, PAS menghantar notis meminta PAN mengosongkan bangunan berkenaan namun keadaan menjadi sukar apabila parti itu mendakwa mereka dibenarkan mendiami premis terbabit oleh Allahyarham Datuk Rosli Ibrahim.

Difahamkan, tanah milik balu kepada Rosli itu sudah dijual kepada Setiausaha Kerja PAS dengan harga RM700,000.

Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Datuk Husam Musa dikatakan akan mencabar arahan mengosongkan bangunan berkenaan dengan memfailkan kes itu ke mahkamah.

Dalam perkembangan berkaitan, Che Abdullah menafikan majlis tersebut bersifat povokasi, sebaliknya ia akan diadadakan dengan aman dan tidak menganggu mana-mana pihak.

“Kita akan minta orang ramai yang hadir dengan air sembahyang dari rumah lagi, kita bukan nak benda lain, sebaliknya melahirkan tanda kesyukuran,” katanya.

Mengulas tindakan PAN yang hanya mahu mengosongkan bagunan tersebut selepas mendapat arahan mahkamah, Che Abdullah berkata, tidak semua perkara melalui proses mahkamah.

“Tidak semua mahkamah buat keputusan, kita nak masuk rumah kita sahaja,” katanya. – 29 Oktober 2017.