UiTM Mahu Lahirkan Pakar Analitik Data

Universiti Teknologi Mara (UiTM) melancarkan Makmal Data Raya atau Big Data Lab (BDL) melibatkan seluruh sistem universiti itu, hari ini.

Pelancaran BDL tersebut disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh di UiTM Kelantan, Lembah Sireh, di Kota Bharu.

Menurut Idris, inisiatif UiTM mewujudkan BDL seiring dengan hala tuju Kementerian Pendidikan Tinggi yang memberi fokus terhadap perkembangan Revolusi Industri 4.0.

Kata beliau, adalah menjadi hasrat kerajaan untuk melahirkan seramai mungkin pakar analitik data bagi memenuhi pasaran pekerjaan pada masa depan.

“Ini juga adalah sebahagian daripada usaha kita membangkitkan semula konsep pioneering spirit dalam kalangan warga UiTM, sekaligus mengembalikan kehebatan UiTM,” katanya dalam majlis pelancaran BDL hari ini.

Dalam majlis sama, beliau turut merasmikan bangunan baharu UiTM Kelantan Kampus Kota Bharu.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Hassan Said; Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Tan Sri Ir. Dr. Ahmad Zaidee Laidin serta Rektor UiTM Kelantan, Tuan Mohd. Rosli Tuan Hassan.

Sementara itu, Dr. Hassan berkata, pihak universiti menyedari keperluan BDL dalam menangani limpahan data bagi membolehkan analisa berskala besar dibuat secara sistematik dan berstruktur.

“Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, BDL ini diharap dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pelajar dan pensyarah bagi memenuhi keperluan kursus-kursus yang melibatkan penggunaan data raya (big data),” katanya.

Mengenai bangunan baharu UiTM Kelantan Kampus Kota Bharu, Hassan berkata, bangunan lama kampus tersebut yang terletak di Jalan Sultan Ibrahim, adalah bersifat sementara dan telah beroperasi di situ sejak 10 tahun lalu.

“Kini bangunan tetap bagi Kampus Kota Bharu berjaya dibuka di Lembah Sireh dengan prasarana lebih lengkap dan moden demi keselesaan warga kampus,” katanya. – 29 Oktober 2017.