Fahaman Takfiri Semakin Berleluasa Selagi PAS Wujud

Fahaman takfiri semakin berleluasa lantaran penyokong fanatik parti PAS gemar menyebarkan kebencian dan mengkafirkan orang lain.

Pengarah Hal Ehwal Syariah PAN, Ustaz Zolkharnain Abidin berpandangan, sikap menganggap diri sendiri sahaja yang betul tidak akan hilang selagi PAS wujud.

“Selagi PAS wujud, dan pentaksubnya perasan diri mereka suci, selama itulah faham takfiri di negara ini akan terus subur.

“Saya menjangkakan selepas dua tahun lebih keluar PAS, pentaksub PAS semakin rasional dan boleh menerima hakikat bahawa PAS hanya parti politik, bukan agama. Berbeza parti dalam politik tidak sama seperti berbeza mazhab dalam fiqh.

“Namun, jangkaan itu meleset. Setiap hari akan lahir pentaksub baru yang menyebarkan kebencian kerana berbeza parti. Setiap ketika akan muncul idea dan buah fikiran untuk memarakkan faham takfiri,” katanya.

Beliau berkata, penyokong yang taksub dengan PAS seolah-olah meletakkan dirinya paling dekat dengan tuhan dan bakal menjadi ahli syurga.

“Orang lain yang tidak seperti mereka berhati kotor, jauh daripada Tuhan dan bakal terazab di akhirat,” ujarnya. – 30 Oktober 2017.