Malaysia Kaji Hubungan Dengan Korea Utara

Malaysia sedang mengkaji hubungan dengan Korea Utara berikutan tindakan negara itu yang menjalankan ujian nuklear dan ujian peluru berpandu yang disifatkan mengancam keselamatan rantau Asia Pasifik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kajian itu merangkumi aspek diplomatik, politik dan ekonomi.

Katanya, Malaysia juga bercadang untuk menutup Kedutaan Besar Malaysia di Pyongyang dan memindahkan akreditasi ke Beijing, China.

“Saya telah menyatakan bahawa Malaysia mengambil langkah untuk mematuhi kesemua Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan dengan ancaman Korea Utara, antaranya dengan mengurangkan bilangan pegawai diplomatik Korea Utara.

“Malaysia juga kini telah memperkenalkan visa untuk kemasukan warganegara Korea Utara ke negara ini,” katanya dalam sesi soal jawab di sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu) mengenai hasil lawatan kerja Perdana Menteri ke Amerika Syarikat (AS) September lalu dan kejayaan yang dicapai melalui lawatan tersebut.

Perdana Menteri berkata, isu Korea Utara itu menjadi antara topik yang dibincang bersama Donald Trump semasa lawatannya ke AS baru-baru ini. – 30 Oktober 2017.