Dakwaan Rafizi Tidak Tepat, Mengelirukan

Rafizi Ramli telah membuat dakwaan yang tidak tepat selain mengelirukan berhubung Pelaburan Felda di United Kingdom membabitkan hartanah di Wembley, London.

Dakwaan itu disiarkan laman web Rafizi Ramli pada 26 Oktober lalu.

Felda Investment Corporation Sdn. Bhd. (FIC) dalam satu kenyataan hari ini berkata, tindakan Ahli Parlimen Pandan itu yang membuat dakwaan tanpa memastikan ketepatannya adalah satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab.

Kata kenyataan itu, Rafizi hanya menunjukkan satu dokumen sahaja, yang menyatakan bahawa harga sebidang tanah dengan nombor hak milik NGL705102, iaitu: Dexion House (2-4 Empire Way, Wembley) dan Howerine House (5-6 Empire Way, Wembley) berjumlah GBP20 juta.

Katanya, dia turut mendakwa FIC telah ditipu dengan nilai wang berjumlah GBP14 juta apabila mendapati bahawa harga tanah tersebut direkodkan sebagai GBP34 juta dalam Penyata Kewangan FIC bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 yang telah diaudit.

“Pada hakikatnya, wang sejumlah GBP34 juta (termasuk cukai yang dikenakan) telah dibayar untuk dua bidang tanah dan bukan satu bidang tanah sahaja sebagaimana yang didakwa Rafizi dalam siar webnya.

“Dua bidang tanah tersebut adalah NGL676298: Felda House (dikenali sebagai Dexion House 1 di Nota 37 dalam Penyata Kewangan FIC tahun 2014 yang telah diaudit).

“Dan NGL705102: Grand Felda House (dikenali sebagai Dexion House 2 di Nota 37 dalam Penyata Kewangan FIC tahun 2014 yang telah diaudit),” kata FIC menerusi kenyataan yang dikeluarkan itu.

FIC turut menegaskan bahawa, dua buah syarikat di British Virgin Islands (BVI); iaitu FIC London Hotel (Private) Limited (FLH) dan FIC Global Limited (FGL); termasuklah hartanah hak milik masing-masing iaitu The Park City Grand Plaza Kensington, Felda House dan Grand Felda House, kesemuanya merupakan hak milik FIC sepenuhnya.

Dalam pada itu, FIC menasihatkan agar perbuatan tidak bertanggungjawab dengan memutar belitkan fakta semata-mata untuk mengelirukan orang ramai dihentikan segera. – 31 Oktober 2017.