Pelajar Sekolah Terlibat Dadah Meningkat

Masalah penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar sekolah di Kelantan semakin membimbangkan apabila jumlah tangkapan berhubung kesalahan berkenaan meningkat tahun ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, sebanyak 866 tangkapan melibatkan pelajar sekolah sehingga Oktober yang merangkumi umur 15 hingga 18 tahun.

“Ini menunjukkan peningkatan jika dibandingkan dengan tempoh yang sama tahun lepas iaitu sebanyak 644 tangkapan dibuat.

“Manakala bagi jenayah sebenar yang melibatkan pelajar pula berlaku sedikit penurunan jika dibandingkan dengan tahun lepas antaranya seperti jenayah rogol dan pecah rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kelab Pencegahan Jenayah 2017 di Sekolah Menengah Kebangsaaan (SMK) Kota Bharu.

Dalam pada itu, Hasanuddin berkata, inisiatif penubuhan kelab pencegahan jenayah di sekolah amat penting bagi memberi kesedaran dan pengetahuan kepada pelajar mengenai risiko berkaitan jenayah. – 31 Oktober 2017.