Wisma Tok Guru: PAN Kubang Kerian Lapor Polis

PAN kawasan Kubang Kerian membuat satu laporan polis berhubung tindakan PAS Kelantan yang mahu memasuki Wisma Tok Guru pada 16 November ini.

Ketuanya, Fauzi Mohamad menyifatkan, tindakan itu sebagai provokasi yang boleh mencetuskan huru-hara dan ia tidak boleh dipandang ringan.

“Tindakan PAS ini adalah tindakan pramatang yang mendahului proses perundangan di mana kesnya masih lagi dalam perbicaraan di kedua-dua mahkamah syariah dan sivil.

“Tanah tapak Wisma Tok Guru itu masih dalam prosiding Mahkamah Tinggi Syariah di Kota Bharu, kes mal bil. 03100-099-0269-2017.

“Manakala berkenaan tuntutan sivil pula pihak peguam cara dalam proses memulakan tindakan di Makamah Tinggi Kota Bharu bagi mendapatkan satu perintah injunksi dan mengekalkan status quo berkait dengan kedudukan hartanah tersebut,” katanya.

Laporan polis tersebut dibuat di Balai Polis Kubang Kerian Petang semalam.

PAS Kelantan akan menganjurkan satu majlis kesyukuran dan solat hajat di pekarangan Wisma Tok Guru sebaik sahaja notis pengosongan bangunan itu berakhir 16 November ini.

Setiausaha PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi memberitahu, ia sebagai tanda kesyukuran rakyat setelah bangunan itu menjadi milik PAS.

“Ramai yang menghabis tenaga dan kewangan demi mendirikan bangunan ini. Majlis ini dibuat sebagai tanda kesyukuran setelah tamat tempoh notis pengosongan keluar.

“Ini adalah proses biasa yang dibuat melalui pemegang amanah, kita ada perancangan terhadap bangunan tersebut,” katanya.

Che Abdullah menafikan majlis itu adalah satu provokasi. – 31 Oktober 2017.