BR1M Bukan Untuk Hapus Kemiskinan

Kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bahawa pelaksanaan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk menghapuskan kemiskinan gagal adalah tidak tepat.

Ia kerana BR1M bukan bertujuan untuk menghapuskan kemiskinan tetapi bagi meringankan sedikit beban rakyat ekoran kenaikan kos sara hidup.

Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof. Madya Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, kerajaan telah merangka pelbagai program lain untuk tujuan kemiskinan.

“Kenyataan Wan Azizah itu tidak betul. BR1M bukan bertujuan untuk basmi kemiskinan tapi untuk meringankan sedikit beban rakyat atas kenaikan kos hidup.

“Kerajaan Selangor dan Pulau Pinang pun banyak bagi ‘cash’ (tunai) pada rakyat negeri tapi namanya bukanlah BR1M.

“Sepatutnya Wan Azizah juga kritik kegagalan basmi kemiskinan di Selangor dan Pulau Pinang kerana kerajaan negeri tersebut bagi cash,” katanya.

Dalam sesi perbahasan Bajet 2018 di Dewan Rakyat semalam Wan Azizah berkata, pertambahan penerima BR1M menunjukkan kegagalan dasar ekonomi kerajaan dalam kerangka membasmi kemiskinan rakyat.

Katanya, BR1M hanya akan dilihat berjaya jika jumlah penerimanya berkurangan tahun demi tahun.

“Bermula dengan seramai 4.1 juta penerima BR1M pada 2012, setelah lima tahun pelaksanaannya kerajaan BN bukan sahaja gagal mengurangkan jumlah penerima BR1M, bahkan sebaliknya pula yang berlaku.

“Adakah ini bererti kerajaan pimpinan Pekan (Datuk Seri Najib Tun Razak) melahirkan dan menambah golongan miskin penerima BRIM?,” kata. – 1 November 2017.