PAS Gesa Ambiga Beri Penjelasan

PAS menggesa bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk S. Ambiga
memberi maklum balas mengenai dakwaan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown yang menamakan beliau sebagai pemberi maklumat berhubung dakwaan pemimpin parti itu menerima wang daripada Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, penjelasan daripada Pengerusi Bersih itu penting bagi memberi gambaran sebenar mengenai keadaan dengar cakap tersebut.

“PAS memandang berat penularan kandungan dokumen pembelaan editor Sarawak Report yang telah difailkan dalam prosiding saman fitnah oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Mahkamah Tinggi London yang menamakan Ambiga sumber yang memberitahu kononnya pemimpin tertinggi PAS menerima wang sebanyak RM90 juta daripada Perdana Menteri.

“Peguam PAS sedang mengkaji perkara ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Media melaporkan Brown yang juga pengasas Sarawak Report menamakan Ambiga sebagai pemberi maklumat berhubung dakwaan PAS menerima wang daripada Perdana Menteri.

Brown dilaporkan berkata, Ambiga memberitahu mengenai Najib, PAS dan isu 1MDB kepadanya pada Julai tahun lalu selain menjelaskan bahawa sumbernya itu boleh dipercayai.

Pada April lalu, PAS menfailkan saman fitnah berhubung fitnah terhadap Abdul Hadi dalam isu berkenaan di Mahkamah Tinggi London.

Dalam saman tersebut, Abdul Hadi mendakwa beliau telah difitnah dalam rencana Sarawak Report bertajuk As Najib denies all over 1MDB let’s not forget his many other criminal connectio bertarikh 6 Ogos, 2016.

Rencana tersebut mendakwa wang itu bertujuan menyogok PAS untuk menyebelahi Barisan Nasional (BN). – 1 November 2017