PAS Serah Kepada Peguam

PAS dinasihat agar tidak memberi sebarang komen berhubung dakwaan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown yang menamakan Datuk S. Ambiga sebagai pemberi maklumat kononnya parti itu menerima wang daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Parti itu menyerahkan kepada peguamnya menguruskan isu tersebut dan tidak mahu mengganggu proses mahkamah.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, bagaimanapun pihaknya masih tertanya-tanya dan terkejut kerana tiba-tiba nama Pengerusi Bersih itu dikaitkan sebagai sumber dalam isu berkenaan.

“Perkara ini menjadi persoalan kerana selama ini Ambiga tidak pernah bercakap dalam isu dana RM90 juta ini.

“Apabila Brown menamakan Ambiga sebagai sumber, ia menjadi satu kejutan kepada PAS. Namun kita serahkan kepada mahkamah dan tidak mahu menganggu perjalanan kes ini,” katanya ditemui selepas mesyurat exco hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Brown yang juga pengasas Sarawak Report menamakan Ambiga sebagai pemberi maklumat berhubung dakwaan PAS menerima wang daripada Perdana Menteri.

Brown dilaporkan berkata, Ambiga memberitahu mengenai Najib, PAS dan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepadanya pada Julai tahun lalu selain menjelaskan bahawa sumbernya itu boleh dipercayai.

April lalu, PAS memfailkan saman fitnah berhubung fitnah terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam isu berkenaan di Mahkamah Tinggi London.

Dalam saman tersebut, Abdul Hadi mendakwa beliau telah difitnah dalam rencana Sarawak Report bertajuk As Najib denies all over 1MDB let’s not forget his many other criminal connection bertarikh 6 Ogos, 2016.

Rencana itu mendakwa wang itu bertujuan menyogok PAS untuk menyebelahi Barisan Nasional (BN). – 1 November 2017.