Ambiga Perlu Berterus Terang

Bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk S. Ambiga perlu segera berterus terang dan membersihkan nama sekiranya dakwaan bahawa beliau memberi maklumat kepada editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown adalah tidak benar.

Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, Pengerusi Bersih itu perlu ‘buka mulut’ dan menyuarakan perkara sebenar berhubung dakwaan beliau sebagai pemberi maklumat bahawa PAS telah menerima wang daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, sekiranya dakwaan Brown itu benar maka Ambiga perlu bertanggungjawab kerana telah memberi maklumat yang tidak benar atau fitnah terhadap Pas dan Perdana Menteri.

“Kita minta Ambiga berterus terang, bersuara apa sebenarnya berlaku. Adakah betul beliau (Ambiga) yang menjadi penyampai sumber yang tidak benar itu.

“Beliau perlu tampil membersihkan nama atau mengambil tindakan undang-undang terhadap Brown jika editor Sarawak Report itu membuat fitnah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera JR dan JR Plus Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) peringkat negeri Kelantan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) kampus Jeli.

PAS menggesa bekas Presiden Majlis Peguam itu memberi maklum balas mengenai dakwaan Brown yang menamakan beliau sebagai pemberi maklumat berhubung dakwaan pemimpin parti itu menerima wang daripada Najib berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada April lalu, PAS memfailkan saman fitnah berhubung fitnah terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam isu berkenaan di Mahkamah Tinggi London.

Dalam saman tersebut, Abdul Hadi mendakwa beliau telah difitnah dalam rencana Sarawak Report bertajuk As Najib denies all over 1MDB let’s not forget his many other criminal connection bertarikh 6 Ogos, 2016.

Rencana itu mendakwa wang itu bertujuan menyogok Pas untuk menyebelahi Barisan Nasional (BN). – 2 November 2017.