Jentera JR, JR Plus Digeruni Pembangkang

Jentera Jalinan Rakyat (JR) dan Jentera Jalinan Rakyat Plus (JR Plus) yang mempunyai lebih 500 ribu ahli di seluruh negara menjadi jentera yang cukup digeruni oleh pakatan pembangkang.

Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, hal demikian kerana jentera Pergerakan Wanita, Pemuda, Puteri serta parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) itu mempunyai struktur dan disiplin yang kukuh dalam memberi perkhidmatan secara berterusan kepada rakyat.

Katanya, situasi itu jauh bezanya dengan jentera pakatan pembangkang yang dilihat lebih banyak bermain politik daripada memberi perkhidmatan kepada rakyat.

“Kekuatan jentera JR adalah perkhidmatan yang kita beri kepada rakyat dan perkara itu cukup digeruni oleh pembangkang.

“Kita tidak mahu membawa perkara-perkara negatif dalam JR ini. Matlamat kita adalah memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera JR dan JR Plus Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) peringkat negeri Kelantan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) kampus Jeli.

Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Hdir sama, Ketua Pergerakan Wanita UMNO negeri, Senator Datuk Rahimah Mahammad; Ketua Pergerakan Pemuda negeri, Mohd. Azam Ismail; ketua-ketua wanita dan puteri UMNO Bahagian seluruh Kelantan serta lebih 5,000 ahli JR dan JR Plus yang memenuhi segenap ruang lokasi majlis berlangsung.

Tambah Sharizat, seluruh kepimpinan serta ahli UMNO dan BN Kelantan pada masa ini dilihat mempunyai semangat perpaduan yang kukuh serta tiada budaya cah keting.

Katanya, situasi itu jelas membuktikan UMNO dibawah kepimpinan Datuk Seri Mustapa Mohamed begitu berjaya dan dengan semangat tersebut tidak mustahil Kelantan akan jatuh ke tangan BN dalam PRU-14. – 2 November 2017.