Mahfuz Mahu Tanding Atas Tiket Pakatan Harapan

Datuk Mahfuz Omar lebih berminat bertanding atas tiket Pakatan Harapan pada pilihan raya umum akan datang sekali gus mengesahkan akan menolak sekiranya PAS menawarkan untuk menjadi calon parti itu.

Memetik laporan sebuah portal, Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga tidak kisah sekiranya PAS menempatkan calon lain di kerusi yang disandangnya sekarang ini.

“Bukan Amanah, bukan Bersatu, sebaliknya saya lebih suka bertanding atas tiket Pakatan.

“Kalau PAS tawarkan saya mana-mana kerusi untuk bertanding sekalipun saya tak ingin, kerana keadaan PAS sekarang yang tidak mungkin diterima oleh masyarakat,” katanya.

Bagaimanapun kata beliau, akan membuat pertimbangan sekiranya terdapat desakan daripada rakan-rakan dan penyokongnya.

“Apa yang pasti, saya tidak mahu bertanding dengan membawa pendirian PAS kerana ia tidak akan dapat meraih undi daripada rakyat,” katanya. – 2 November 2017.