‘Dua Ekor Makhluk’ Punca Masalah Pasar Baharu Pasir Puteh

Kerajaan PAS Kelantan mendakwa dua individu terlibat dalam mereka bentuk Pasar Siti Hajar di Pasir Puteh menyebabkan ada peniaga yang tidak berpuas hati.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, dua individu itu telah berunding dengan pihak pemaju berhubung pembinaan projek pasar berkenaan.

“Dua ekor makhluk ini yang pergi berunding dengan syarikat pemaju pada masa Tok Guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) ada lagi.

“Kalau ada masalah pasar itu sempit atau lain-lain masalah pergi tanya mereka dan jangan salahkan orang lain.

“Badan-badan lain yang membina pasar ini hanya melaksanakan keputusan kerana mereka telah dilantik mewakili majlis,” katanya ketika berceramah di Pengkalan Chepa.

Mohd. Amar bagaimanapun tidak menyebut nama individu berkenaan.

Beliau menggesa, para peniaga yang tidak berpuas hati dengan pasar baharu itu supaya ‘mencari’ individu berkenaan untuk merungkai sebarang kemuyskilan.

“Kalau nak komplen ruang tak muat, banyak masalah pergi cari dua orang ini dan marahkan mereka.

“Dua orang ini sekarang jadi kepala halian (juara) PAN di Pasir Puteh,” katanya.

Tambahnya, kemelut yang tercetus dalam kalangan peniaga terbabit berpunca daripada wujudnya ‘pengacau’ yang menghasut rakyat.

“Mereka ini yang mengadakan pelbagai cara untuk menimbulkan kebencian rakyat kepada kerajaan (negeri),” katanya. – 3 November 2017