Puteri UMNO perlu bangkit pertahankan parti

Seluruh ahli Puteri UMNO khususnya di peringkat akar umbi perlu bangkit dan menjadi barisan hadapan mempertahankan parti daripada serangan pembangkang.

Ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, ketika ini, pembangkang dilihat terus agresif melontarkan pelbagai fitnah dan menanamkan sifat kebencian khususnya dalam kalangan anak muda terhadap kerajaan

“Jadi, kita harap lebih 400,000 Puteri UMNO di seluruh negara bangkit menjadi benteng dan bantu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan menepis segala tohmahan daripada pembangkang.

“Kita tidak boleh mengambil sikap berdiam diri, sebaliknya setiap isu yang dimainkan perlu ditepis secepat mungkin menggunakan laman sosial termasuk Facebook dan Instagram.

“Selain itu, Puteri UMNO perlu sentiasa memuat naik program yang dilaksanakan parti bagi membolehkan rakyat mengetahui apa yang dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Himpunan Puteri UMNO Cawangan Seluruh Kelantan di Bangunan UMNO negeri di Kota bharu hari ini. – 3 November 2017.