Iada Perlu RM1.5 Juta Selenggara Rumah Pam Kurang Impak Banjir

Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (Iada) Kemasin Semerak memerlukan peruntukan RM1.5 bagi menyelenggarakan tujuh rumah pam dalam usaha mengurangkan impak banjir di dua daerah iaitu Pasir Puteh dan Bachok.

Pengarahnya, Nik Hamadi Nik Abdullah berkata, sembilan rumah pam sudah siap diselenggarakan tahun ini dan keadaan akan lebih baik sekiranya dapat dilaksanakan di semua rumah pam.

Beliau berkata, pihaknya yakin ancaman banjir di daerah terbabit tidak seburuk tahun lepas sekiranya tidak berlaku air laut pasang besar.

“Pada musim tengkujuh tahun lepas, Pasir Puteh paling teruk dilanda banjir yang mana ada mengaitkannya dengan kerosakan rumah pam.

“Rumah pam di Kampung Nara dan Kampung Tasek merupakan rumah pam penting di Pasir Puteh, ia perlu berada dalam keadaan baik untuk mengawal paras air,” katanya.

Selain itu katanya, tiga pintu kawalan pasang surut air iaitu di Gong Kulim dan Kampung Lembah di Pasir Puteh dan satu di Pengkalan Petah, Bachok sudah berfungsi dengan sempurna.

Tambahnya, ketiga-tiga pintu itu berperanan mengawal kemasukan air laut pasang ke daratan dan mengalirkan air dari daratan ke laut ketika air laut surut. – 4 November 2017.