Penduduk Mula Berjaga-Jaga

Penduduk sekitar Pantai Kundur, di Kota Bharu mula mengambil langkah berjaga-jaga berikutan hujan lebat sekali sekala dan ombak besar di waktu lewat malam.

Keadaan itu sememangnya telah menjadi perkara biasa setiap kali menjelang musim tengkujuh terutamanya bagi mereka yang tinggal berhampiran pantai.

Seorang penduduk, Abdul Aziz Mamat, 63, berkata, penduduk di pinggir pantai semakin bimbang berikutan benteng guni pasir yang baharu diletakkan tiga minggu lalu di kawasan tersebut runtuh.

“Malam kelmarin hujan lebat dan ombak besar kira-kira jam 2 pagi.

“Guni pasir tepi rumah pakcik sudah runtuh sikit demi sedikit. Memang kami bimbang sebab sekarang ini sudah nak masuk musim bah.

“Tidur pun tak lena. Asyik terjaga sebab takut ombak masuk rumah. Sebab jarak rumah dengan tepi pantai tak sampai 20 langkah,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mariam Hassan, 59, berkata, dia sudah mula memindahkan barang-barang penting ke surau berhampiran sebagai persediaan kemungkinan banjir.

“Kami minta izin dengan penduduk untuk letak baju dan barangan di surau yang terletak di kawasan agak tinggi.

“Sekarang cuaca tidak menentu, kadang-kadang hujan lebat dan ombak besar, jadi lebih baik kami beringat,” katanya.

Katanya, dalam masa beberapa hari, ombak besar melimpah sehingga ke laman rumah. – 4 November 2017.