590 Maut Kerana Lemas Setiap Tahun

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Wan Mohd. Nor Ibrahim mendedahkan, purata kematian akibat lemas di seluruh negara ini mencecah 590 orang setahun.

Menurut beliau, berdasarkan angka itu, dianggarkan sekurang-kurangnya seorang atau dua orang maut akibat lemas setiap hari.

Sementara itu katanya, bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, jumlah kes lemas direkodkan mencecah 298 kes dengan 253 daripadanya melibatkan kematian.

“Lemas dalam sungai dan tali air mencatatkan angka tertinggi iaitu 152 kes dengan 135 daripada mangsa maut, diikuti lemas di pantai iaitu 88 kes dan 65 daripada mangsa maut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kesedaran Keselamatan Aktiviti Air di Pantai Geting, Tumpat.

Hadir sama, Pengarah JBPM Kelantan, Nazili Mahmood dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor, Mat Razi Mat Ail.

Mengulas mengenai program, Wan Mohd Nor berkata, ia bertepatan dengan musim tengkujuh yang dihadapi kini.

“Kempen itu bertujuan meningkatkan kesedaran, selain usaha mengurangkan insiden kejadian lemas di rumah, tempat kerja, pengangkutan air dan rekreasi. – 5 November 2017.