Bomba Beri Tumpuan Risiko Banjir Di Pantai Timur

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan memberi tumpuan khusus kepada tiga negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang yang kini berisiko dilanda bencana banjir.

Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Wan Mohd. Nor Ibrahim, berdasarkan pemantauan, tiada fenomena luar biasa dijangka berlaku sepanjang musim tengkujuh tahun ini.

“Musim tengkujuh sudah bermula dan kebiasaannya ia berlaku di Utara Semenanjung sebelum beralih ke Pantai Timur. Selepas itu ia bergerak ke Selatan Semenanjung dan akhir sekali ke Sabah dan Sarawak.

“Kita akan beri tumpuan di Kelantan yang kini dilanda hujan lebat sejak beberapa hari lalu,” katanya selepas melancarkan Program Kesedaran Keselamatan Aktiviti Air Peringkan Kelantan di Pantai Geting, Tumpat.

Wan Mohd. Nor dalam pada itu berkata, JBPM dan semua pihak terlibat telah pun mengadakan mesyuarat koordinasi bagi memastikan setiap agensi memainkan peranan masing-masing dengan cekap ketika menghadapi banjir.

Di peringkat JBPM pula kata beliau, arahan telah dikeluarkan pada 1 November lalu supaya setiap negeri memastikan anggota dan segala peralatan bersiap siaga.

“Sebaik sahaja banjir berlaku, adalah penting untuk kita bertindak pantas bagi memastikan keselamatan rakyat terjamin,” katanya. – 5 November 2017.