Penumpang Kereta Api Terkandas, Tanah Runtuh Di Dabong

Seramai 70 penumpang terkandas selepas kereta api yang membawa mereka dari Kuala Lipis, Pahang ke Tumpat tidak dapat meneruskan perjalanan berikutan tanah runtuh di kilometer 392 antara Dabong dan Bukit Abu petang semalam.

Kejadian tanah runtuh di kawasan berkenaan kira-kira pukul 6.30 petang itu berikutan hujan lebat yang berlarutan.

Pengurus Wilayah Timur Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Zaid Ibrahim berkata, kereta api dari Kuala Lipis yang bertolak dari stesen Dabong kira-kira pukul 6.05 petang itu terpaksa berhenti dan berpatah balik selepas dimaklumkan berlaku tanah runtuh di kawasan tersebut.

“Kereta api terpaksa berundur semula ke stesen Dabong kerana laluan tersebut yang ditenggelami air tidak dapat dilalui,” katanya ketika dihubungi.

Tambah beliau, kesemua penumpang tersebut kemudiannya dibawa ke stesen kereta api Kuala Krai menggunakan bas.

“Kerja-kerja membaik pulih laluan tersebut akan dilakukan dalam masa terdekat dan kita sedang menunggu maklum balas daripada pasukan jurutera yang bertugas,” katanya. – 5 November 2017.