Projek Naik Taraf Jalan Selising – Tok Bok Siap

Projek menaiktaraf Jalan yang menghubungi Tok Bok, Machang ke Selising, Pasir Puteh bagi fasa dua bernilai RM66 juta telah siap sepenuhnya.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Razani Ab. Lazid berkata, laluan sejauh 9.8 kilometer itu menjadi laluan alternatif kepada penduduk setempat untuk ke Pasir Puteh dan sebaliknya.

Beliau berkata, secara keseluruhannya projek menaiktaraf Jalan Tok Bok ke Selising ini melibatkan laluan sejauh 15.5 km yang dilaksanakan menerusi dua fasa.

“Bagi fasa satu sejauh 5.7 km telah siap sepenuhnya pada tahun 2010 dengan peruntukan RM15 juta.

“Manakala untuk fasa dua pula, kerja-kerja awal telah bermula sejak September 2010 dan siap sepenuhnya pada 31 Oktober tahun lalu,” katanya selepas Majlis Penyerahan Projek Jalan Tok Bok ke Selising, Pasir Puteh (Fasa dua) di Machagn hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Azizan Mohd. Sidin.

Razani berkata, projek menaiktaraf jalan berkenaan telah dilaksanakan mengikut piawaian R3 JKR termasuk pembinaan dua buah jambatan. – 5 November 2017.