Remaja Miliki Bom Mengaku Salah

Seorang pelajar tingkatan enam sebuah sekolah di Pasir Puteh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas pertuduhan memiliki dua butir bom yang disyaki untuk digunakan dalam rancangan serangan terhadap The Better Beer Festival 2017 di ibu negara pada Oktober lalu.

Tertuduh Muhamad Hafizi Mat Jusoh, 19, yang sepatutnya menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) esok mengaku bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Selain itu, Muhamad Hafizi turut berdepan empat pertuduhan lain berkaitan penglibatan dalam kumpulan pengganas, bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, Muhamad Hafizi didakwa memiliki dua senjata api iaitu dua butir bom improvised explosive device (IED) di sebuah rumah di Kampung Merkang, Pasir Puteh pada pukul 6.05 petang, 10 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api ( Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan minimum enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dua yang lain, Ahmad Azmi Ahmad Rosli, 24 , dan Mahadi Ibrahim, 34, yang turut dikatakan terlibat dalam rancangan serangan tersebut masing- masing berdepan tiga dan dua lagi pertuduhan berasingan berkaitan aktiviti kumpulan pengganas.

Kedua-dua tertuduh hanya mengangguk faham dan tiada pengakuan direkodkan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fadzlan Mohd. Noor dan sebutan semula kes ditetapkan pada 6 Disember depan.

Baru-baru ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggagalkan rancangan serangan terhadap The Better Beer Festival 2017 dengan tertangkapnya tiga lelaki termasuk perancang utama, seorang pelajar tingkatan enam di Pasir Puteh, Kelantan, 10 Oktober lalu.

Suspek utama yang berusia 19 tahun bersama seorang bekas tentera, 34, dan kontraktor binaan, 25, dipercayai telah merangka serangan tersebut selepas menerima maklumat mengenai penganjuran festival arak tersebut yang dijadualkan berlangsung di Solaris Dutamas pada 6 Oktober lalu. – 5 November 2017.