Taraf Ekonomi Rakyat Kelantan Bertambah Baik

Usaha Kerajaan Persekutuan melaksanakan pelbagai projek pembangunan serta program keusahawan secara berterusan dalam tempoh empat tahun lalu berjaya meningkatkan taraf ekonomi penduduk Kelantan.

Buktinya, kadar kemiskinan di negeri itu turun daripada 0.9 peratus pada 2012 kepada 0.4 peratus tahun lalu.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan (MTPNK), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, peratusan terbaharu tersebut kini setara dengan kadar purata kemiskinan yang dicapai di peringkat nasional iaitu 0.4 peratus.

“Pada 2014, purata kadar kemiskinan di peringkat nasional ialah 0.6 manakala di peringkat Kelantan 0.9 namun pada 2016, kadar itu menurun menjadi setara iaitu masing-masing pada tahap 0.4 peratus.

“Taraf ekonomi rakyat Kelantan yang terus meningkat ini ada kaitan dengan pelbagai projek pembangunan infrastruktur serta program ekonomi dan keusahawanan berterusan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat MTPNK yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Yahaya Mamat hari ini.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, berdasarkan tumpuan khusus diberikan kepada Kelantan ketika ini, sasaran memastikan kadar kemiskinan di negeri itu lebih rendah berbanding di peringkat nasional bakal tercapai.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, terdapat lima projek dalam Rolling Plan Kedua 2017 yang bakal dilaksanakan di negeri itu dalam masa terdekat melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM936 juta.

Katanya, antara projek itu adalah jejambat merentangi Bulatan Wakaf Bharu bernilai RM144 juta, Lebuh Raya Kota Bharu – Kuala Krai laluan Ketereh – Kok Lanas Pakej 2B (RM229.8 juta) dan Jambatan Sungai Gu (RM8.7 juta).

“Projek lain yang bakal dilaksanakan ialah laluan Simpang Pulai-Lojing-Gua Musang-Kuala Berang Pakej 6A bernilai RM300 juta dan Central Spine Road (CSR) Seksyen 3D Bulatan Gua Musang ke Mentara bernilai RM253.5 juta,” katanya. – 5 November 2017.