Pakatan Harapan Bergerak Dengan Satu Jentera

Jentera pilihan raya parti komponen pembangkang akan bergerak dengan satu jentera iaitu Pakatan Harapan, kata Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Pengerusi Jentera Pilihanraya Pakatan Harapan Kelantan itu berkata, gerakan berkaitan pilihan raya komponen pembangkang mulai sekarang tidak akan bergerak secara berasingan mengikut parti masing-masing.

Malah katanya, setiap kerusi yang dipertandingkan juga hanya atas satu tiket iaitu Pakatan Harapan.

“Kita telah memutuskan semua peringkat dari Negeri, Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) kita bergerak atas satu jentera.

“Bilik operasi semua peringkat juga hanya satu sahaja akan diadakan bagi semua parti dalam PH.

“Dan paling penting setiap kawasan pilihan raya kita akan ada hanya satu calon iaitu calon PH,” katanya selepas mesyuarat jentera pilihan raya Pakatan Harapan negeri.

Dalam pada itu, beliau memberitahu Pakatan Harapan Kelantan akan mengadakan satu majlis bersama perantau awal Disember ini.

“Program ini dirancang dalam bentuk ‘hard talk’ yang bakal disertai Datuk Husam Musa dan Tun Dr. Mahathir sendiri.

“Pada majlis itu nanti kita akan mengemukakan program-program yang dirancang dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14,” katanya.

Tambahnya, menerusi majlis itu juga Pakatan Harapan akan mendedahkan hala tuju perjuangannya apabila dipilih mentadbir Kelantan. – 6 November 2017.