PAN Tidak Ganggu PAS Mahu Solat Hajat

PAN Kelantan tidak akan mengganggu atau menghalang PAS melakukan solat hajat di Wisma Tok Guru yang dijadual akan diadakan pada 16 November ini.

Pengerusi Amanah Negeri, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah berkata, malah bagi pihaknya sendiri, beliau memberi jaminan untuk tidak mencetuskan sebarang huru-hara pada hari tersebut.

“Datuk Husam ( Datuk Husam Musa) sendiri sudah arahkan supaya tidak ada satu tindakan yang boleh mencetuskan keadaan tidak baik, mereka boleh solat, tiada masalah, Amanah (PAN) sama sekali tidak menyekat,” katanya.

Baru-baru ini, Setiausaha PAS Negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi memberitahu, PAS akan menganjurkan solat hajat pada hari terakhir notis pengosongan bangunan itu sebagai tanda kesyukuran.

Kata beliau, pihaknya mahu ahli serta penyokong parti Islam itu tenang semasa majlis berlangsung dan menasihatkan mereka yang datang agar mengambil wuduk dari rumah lagi.

Dalam pada itu, Wan Rahim berkata, secara peribadi beliau bersedia untuk turun bersama bersolat demi kebaikan semua pihak.

Ketika menjawab desas-desus kononnya penyokong PAN akan menghalang majlis tersebut dengan kekerasan beliau berkata, itu bukan pendirian rasmi PAN.

“Itu bukan kenyataan daripada kita, kita tidak ada masalah dengan perkara yang baik,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, peguam PAN, Hisham Fauzi meminta semua pihak supaya menghormati isu ini yang telah dibawa ke mahkamah.

“Kita juga jangka ada satu keputusan perintah sementara dikeluarkan, justeru kita mahu elak sebarang pertembungan,” katanya. – 6 November 2017.