Pencerobohan Nelayan Asing, SPRM Tahan 22 Individu Rasuah APMM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 22 individu termasuk seorang wanita warganegara Vietnam yang bergelar ‘Datuk’ berhubung pencerobohan nelayan asing di perairan negara.

Mereka ditahan dalam satu operasi secara besar-besaran di perairan negara, semalam.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, dalam operasi yang dikenali sebagai Ops Armada itu, enam penjawat awam termasuk lima anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan seorang kakitangan Jabatan Perikanan turut ditahan.

“Selain itu, sebanyak sembilan rakyat tempatan yang berperanan sebagai orang tengah dan enam orang lagi warganegara Vietnam termasuk seorang wanita ditahan.

“Dalam operasi yang dijalankan secara bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia itu kita juga telah merampas wang tunai berjumlah RM1.9 juta iaitu wang rasuah dan membekukan 44 akaun bank berjumlah RM2 juta,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar.

Dzulkifli berkata, sebanyak sembilan tangkapan dibuat di Pahang, Sabah (lima), Sarawak (empat), Terengganu (tiga) dan Labuan (satu).

Katanya, kesemua suspek tersebut akan dibawa untuk mendapat perintah reman di negeri-negeri tersebut hari ini. – 6 November 2017.