71 Pasar Raya Di Kelantan Adakan Jualan Murah

Sebanyak 71 pasar raya di seluruh negeri Kelantan mengambil inisiatif mengadakan jualan murah di premis masing-masing sekali gus membantu para pengguna mengurangkan kos perbelanjaan mereka.

Kempen yang melibatkan kerjasama dengan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kelantan itu akan berlangsung selama tiga bulan sehingga 1 Januari tahun depan.

Pengarah PPDNKK negeri, Datuk Ab.Ghani Harun berkata, para pengguna diminta mengambil kesempatan membeli barangan dengan harga murah di pasar raya di kawasan parlimen masing-masing.

Dalam masa sama beliau berkata, pihaknya juga akan melakukan pemantauan secara berterusan di pasar raya terlibat bagi mengelak daripada berlakunya sebarang penipuan.

“Program ini diadakan bagi membantu mengurangkan kos sara hidup pengguna dalam berbelanja selain menggalakkan pasar raya di negeri ini menawarkan harga barangan dengan lebih murah,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian jualan akhir tahun di Pasar Raya Econjaya Kok Lanas.

Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas, Datuk Md. Alwi Che Ahmad.

Sementara itu, Md. Alwi berkata, insiatif pasar raya Econjaya yang menurunkan harga barangan sehingga 70 peratus itu diharap dapat membantu meringankan beban pengguna khususya di kawasan ini.

“Saya mewakili penduduk mengucapkan terima kasih di atas inisiatif yang diambil pasar raya ini bagi membantu para pengguna. Saya harap pengguna mengambil peluang untuk membeli barangan sempena jualan murah ini,” katanya. – 8 November 2017.