Cikgu Usin Hilang Bot Terbalik Di Muara Kuala Besar

Seorang pesara guru hilang dikhuatiri lemas selepas bot dinaikinya bersama seorang rakan terbalik di muara Kuala Besar petang semalam.

Dalam kejadian bermula pukul 4.30 petang, dua sahabat itu terpaksa bertarung nyawa selama lebih tiga jam dengan cara berpaut pada kepala bot yang masih timbul.

Bagaimanapun, hanya rakannya, Wan Zaidi Wan Hussin, 57, terselamat selepas nekad berenang ke daratan manakala pesara guru terbabit, Wan Husin Wan Abdullah, 62, gagal dikesan sehingga kini.

Wan Zaidi yang merupakan seorang nelayan memberitahu, mereka berdua dalam perjalanan pulang ke darat selepas selesai menangkap udang, sotong dan ikan.

“Sebaik sahaja tiba di muara Kuala Besar, bot kami terbalik akibat dipukul ombak dan kami terpaksa berpaut pada kepala bot.

“Kami berdua berpaut selama lebih tiga jam dalam keadaan letih, lapar dan kesejukan berikutan hujan lebat. Saya beritahu Cikgu Usin bahawa saya mahu berenang ke daratan yang terletak kira-kira dua kilometer sahaja lagi.

“Sebelum berpisah, kami sempat bermaafan dan mengucap bersama-sama. Saya minta dia supaya terus bertahan sementara menunggu saya dapatkan bantuan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Pulau Pisang, hari ini.

Menurut Wan Zaidi, dia nekad berenang selama kira-kira satu jam sebelum ditemukan pengsan akibat kepenatan di tepi pantai oleh penduduk kampung pada pukul 8 malam.

Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Kota Bharu, Syobirin Abd. Kadir memberitahu, pihaknya menerima panggilan orang awam pada pukul 8.05 malam dan bergegas ke lokasi kejadian untuk mengesan mangsa.

“Operasi mencari dan menyelamat mangsa masih giat dilakukan pihak kami dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan polis. Sehingga pukul 3 petang ini, mangsa belum ditemukan,” katanya. – 8 November 2017.