Kerajaaan, Pulau Pinang Ketepikan Perbezaan Politik Wajar Dicontohi

Perbezaan politik antara Barisan Nasional (BN) dan pembangkang yang diketepikan dalam menghadapi musibah banjir di Pulau Pinang wajar dijadikan contoh oleh semua pihak agar tidak lagi bermusuhan hanya
disebabkan berlainan ideologi politik.

Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Md. Alwi Che Ahmad berkata, pemimpin atau rakyat khususnya di dalam pembangkang tidak sepatutnya melihat kerajaan sebagai musuh kerana apabila berlaku sesuatu perkara tidak diingini mereka pastinya akan meminta pertolongan.

Katanya, situasi tersebut dapat dilihat apabila Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menghubungi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meminta pertolongan menangani bencana banjir di negeri itu.

“Di dalam politik ini jangan kita bergaduh sehabis mungkin kerana dalam satu-satu masa kita memerlukan pertolongan. Jadikan bencana ini sebagai pengajaran supaya kita tidak lagi sombong pada masa akan datang.

“Dalam perkara ini saya memuji Ahmad Zahid yang pantas menyalurkan bantuan dan Lim Guan sendiri yang mengenepikan fahaman politik menghubungi sendiri Timbalan Perdana Menteri bagi mendapatkan pertolongan,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis perasmian jualan akhir tahun di Pasar Raya Econjaya Kok Lanas.

Mengulas lanjur, Md. Alwi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas berkata, beliau menzahirkan rasa dukacita berikutan beberapa tragedi seperti tanah runtuh dan banjir yang berlaku di Pulau Pinang.

Katanya, setiap musibah yang berlaku itu pastinya ada hikmah dan semua pihak perlu mengambil iktibar mengenainya.

“Setiap apa yang berlaku itu adalah disebabkan tangan-tangan manusia sendiri yang menyebabkan kerosakkan alam sekitar. Hendak melakukan sesuatu selepas ini, perlu berhati-hati dan jangan hanya memikirkan keuntungan semata-mata,” katanya. – 8 November 2017.