PNB Serah Zakat Perniagaan RM11.8 Juta Kepada Maik

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) menerima zakat perniagaan berjumlah RM11,867,200 daripada Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) di Istana Kota Lama, hari ini.

Pemangku Raja Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra yang juga merupakan Yang Dipertua Maik berkenan menerima zakat tersebut.

Hadir menyampaikan zakat itu ialah Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad.

Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua Maik, Dr. Nik Mohd. Azlan Abd. Hadi dan Ketua Operasi Kumpulan PNB, Datuk Idris Kechot.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, pembayaran zakat perniagaan oleh Kumpulan PNB dikira mengikut ‘haul’ serta ‘nisab’ yang sudah ditetapkan.

Katanya, zakat perniagaan tidak meliputi agihan pendapatan untuk pemegang akaun unit Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

“Pemegang akaun dinasihatkan melunaskan sendiri zakat bagi pelaburan dalam setiap unit amanah yang berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Nik Mohd. Azlan memberitahu, setakat 7 November 2017, jumlah kutipan zakat oleh Maik tahun ini mencecah RM129.7 juta, berbanding 128.3 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Katanya, jumlah itu menyaksikan peningkatan kutipan zakat sebanyak RM1.3 juta atau 1.07 peratus.

“Berdasarkan perkembangan ini, kita optimis sasaran kutipan zakat sebanyak RM166 juta oleh Maik sepanjang tahun ini mampu dicapai,” katanya. – 8 November 2017.