Polis Siasat Dr. Mahathir

Polis membuka dua kertas siasatan ke atas Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung kenyataannya yang dipercayai mempunyai unsur penghinaan terhadap komuniti Bugis.

Memetik laporan sebuah portal berita online hari ini, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat mengesahkan perkara itu dan sedang menyiasat dakwaan tersebut.

“Saya boleh mengesahkan yang kami sedang menyiasat Dr. Mahathir berhubung kenyataannya mengenai Bugis. Kami akan mengambil kenyataannya tidak lama lagi,” katanya seperti dilaporkan portal berkenaan.

Dewan Diraja Selangor menggesa pihak polis menyiasat Dr. Mahathir kerana didakwa mencetuskan kebencian terhadap keturunan Bugis.

Kenyataan bekas perdana menteri itu dikritik oleh beberapa anggota masyarakat, yang menuntut agar beliau memohon maaf.

Persatuan Bugis Indonesia menuntut Dr. Mahathir meminta maaf atau ia akan mengadakan protes di luar kedutaan Malaysia di Jakarta. – 8 November 2017.