Bekas Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan Meninggal Dunia

Bekas Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan, Datuk Mohamad Daud Iraqi meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) petang semalam.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 6.40 di sisi keluarganya .

Jenazah akan disembahyangkan pada pukul 9 pagi ini di Masjid Kubang Kerian sebelum dikebumikan di tanah perkuburan di Kubang Kerian.

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata, Allahyarham merupakan tokoh besar dalam bidang ilmu keagamaan dan pemergiannya sukar dicari ganti.

“Beliau sentiasa menjadi rujukan khasnya dalam menentukan hukum-hakam yang sukar untuk dibuat keputusan.

“Semoga ALLAH SWT menerima segala jasa dan amalan soleh dan diganjari dengan sebesar-besar ganjaran,” katanya.

Mohamad, 78, sebelum ini dilaporkan diserang angin ahmar dan kencing manis. – 9 November 2017.