Jangan Tipu Rakyat

Pembangkang tidak sepatutnya mengelirukan rakyat dalam isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Malah, pembangkang seharusnya ikhlas dalam soal GST, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Jangan menipu rakyat kononnya GST patut dihapuskan tetapi dalam masa sama akan mengembalikan SST yang sudah lapuk.

“Mansuhkan sahaja cukai barang dan nyatakan di mana mereka (pembangkang) mahu menampung kekurangan hasil minyak sebanyak RM40 bilion setahun. Usahlah perdayakan rakyat,” kata perdana menteri dalam catatan terkini blog rasminya (www.najibrazak.com), hari ini.

Beliau menjelaskan, SST yang mahu diguna pakai bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mempunyai masalah percukaian bertindih dan juga perhitungan berganda dalam pengiraan nilai produk serta mempunyai masalah ketirisan akibat manipulasi pemborong dan penjual.

Katanya, pengenalan sistem SST bukan sahaja keterbelakang, malah akan membebankan rakyat secara tersembunyi.

Beliau mendakwa, Dr. Mahathir pernah mengakui GST lebih baik daripada SST kerana pentadbiran beliau sendiri yang mengesyorkan untuk menaik taraf cukai kepada sistem GST.

“Akhirnya Tun Dr. Mahathir bersetuju dengan kerajaan bahawa GST menampung kekurangan hasil minyak sebanyak RM40 bilion.

“Namun kerana beliau keterlanjuran kata menjanjikan pemansuhan GST, beliau sekarang ini mahu menggantikan GST dengan SST, sebuah sistem lapuk dan tersembunyi yang telah ditamatkan oleh 160 buah negara di dunia. Sekali lagi Tun melakukan u-turn (pusingan U),” katanya.

Beliau berkata, Dr Mahathir ingin menampakkan seolah-olah pembangkang akan menghapuskan GST tetapi sebaliknya akan menggantikan dengan SST dengan kadarnya tidak dimaklumkan kepada pembeli bagi mengemis undi.

“Bukankah ini satu pembohongan. Di bawah sistem SST adalah tidak perlu untuk penjual maklum jumlah cukai dalam resit.

“Jadi mereka boleh mengenakan cukai pada kadar yang tidak boleh dikawal penguat kuasa, dan rakyat juga tidak sedar mereka masih dicukai walaupun diberitahu GST dimansuhkan. Tidak dengan GST di mana penjual perlu secara telus menyatakan jumlah kadarnya yakni enam peratus,” jelasnya. – 10 November 2017.