624 Terima Darjah Kebesaran, Pingat Kelantan

Seramai 624 penerima darjah kebesaran, bintang, pingat dan Jaksa Pendamai sempena sambutan ulang tahun keputeraan ke-48 Sultan Muhammad V di Istana Balai Besar, hari ini.

Sempena sambutan ulang tahun kali ini, seramai 228 penerima menerima darjah kebesaran, manakala penerima bintang pula ialah Bintang Seri Mahkota Kelantan (S.M.K) 48 orang, Bintang Seri Kelantan (S.K) 51 orang dan Bintang Ahli Kelantan (A.K) seramai 92 orang.

Seramai 193 orang pula menerima pelbagai pingat melibatkan Pingat Bakti (P.B), Pingat Setia Mahkota Kelantan (P.S), Pingat Ta’at (P.T) dan Pingat Perangai Baik (P.P.B).

Mendahului penerima darjah kebesaran itu ialah Panglima Medan Barat Tentera Darat, Datuk Azizan Md. Delin yang menerima darjah kebesaran Ahli Yang Kehormat Yang Pertama bagi darjah kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (S.P.K.K).

Ia diikuti dengan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Mohd. Zawawi Salleh, yang menerima darjah kebesaran Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) bagi darjah kebesaran Setia Mahkota Kelantan, Yang Amat Terbilang (S.P.S.K).

Turut menerima darjah kebesaran yang sama ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Sri Alias Ahmad dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Nik Kazim Nik Yusoff.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gual Periuk, Mohamad Awang juga turut menerima darjah kebesaran Ahli Yang Kedua (Datuk Paduka) bagi darjah kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan, Yang Amat Mulia (D.J.M.K).

Bagi darjah kebesaran Ahli Yang Kedua (Datuk Paduka) Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (D.P.K.K) pula diberikan kepada lima penerima dan di antaranya ialah Juruiring Tentera Darat kepada Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad V iaitu Brigediar Jeneral Mohd. Zulkipli Mohd. Zahir dan Juruiring Tentera Udara, Brigediar Jeneral Muhammad Tarminzi.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan, Yahaya Mamat dan Mantan Pengarah Pendidikan Negeri, Jaafar Ismail turut menerima darjah kebesaran Ahli Yang Kedua (Datuk Paduka) Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (D.P.S.K).

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner, Din Ahmad turut menerima darjah kebesaran Ahli Kehormat Kedua (Datuk Paduka) Jasa Mahkota Kelantan Yang Amat Setia (D.P.J.K).

Ulang tahun baginda kali ini juga turut menyaksikan pelantikan sembilan Jaksa Pendamai dan di antara penerimanya ialah Pengarah Urusan Cengal Jati, Datuk Ir Shaari Hassan dan Pengarah Advanced Air Traffic System (M) Sdn. Bhd, Datuk Zakri Afandi Ismail. – 11 November 2017.