Bekas Ahli Parlimen PKR Meninggal Dunia

Bekas ahli Parlimen Tanah Merah, Kelantan Saufi Daud meninggal dunia hari ini.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan perkara itu dalam satu kenyataan hari ini.

“Saya akan sentiasa mengenang almarhum Saufi sebagai seorang sahabat yang paling awal membantu saya tatkala diarah oleh Anwar Ibrahim untuk mengadakan himpunan di Stadium Sultan Mohamad Kota Bharu pada September 1998.

“Almarhum Saufi ketika itu menjawat setiausaha Umno Bahagian Tumpat.

“Seluruh keluarga besar PKR terutamanya Anwar, Dr Wan Azizah Wan Ismail, seluruh pimpinan pusat dan anggota parti akan sentiasa menghargai jasa baik dan sumbangan besar beliau terhadap PKR,” kata Saifuddin.

Saufi merupakan ahli Parlimen Tanah Merah pada penggal 1999-2004.

Pada Pilihan Raya Umum ke-10 PKR pada masa itu dikenali sebagai Parti Keadilan Nasional (PKN) memenangi lima kerusi Parlimen iaitu Kota Bharu, Peringat, Kemaman, Permatang Pauh dan Tanah Merah.

Pada 2003, PKN bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) untuk membentuk Parti Keadilan Rakyat (PKR). – 11 November 2017.