Musim Tengkujuh Diramal Bermula Isnin Ini

Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh di Malaysia dijangka bermula Isnin ini (13 November) hingga Mac 2018.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), hujan lebat diramalkan berlaku di Pantai Timur semenanjung serta Sabah dan Sarawak.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, MetMalaysia berkata, empat hingga lima episod hujan lebat dijangka berlaku pada musim tengkujuh kali ini.

“Episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor pada November dan Disember 2017.

“Pada Disember 2017 dan Januari 2018, episod hujan lebat dijangka lebih tertumpu di barat Sarawak serta utara dan timur Sabah,” kata kenyataan itu.

Kata kenyataan itu lagi, semasa Monsun Timur Laut, hujan berterusan untuk tempoh sehingga tiga hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan rendah dan kawasan cenderung banjir.

“Sekiranya hujan lebat berlaku serentak dengan kejadian air pasang, risiko kejadian banjir akan menjadi lebih buruk,” katanya.

Sehubungan itu, METMalaysia menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada dalam menghadapi musim tengkujuh ini serta sentiasa peka dengan amaran yang dikeluarkan METMalaysia melalui laman web http://www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca, Facebook: malaysiamet, Twitter: @malaysianmet, perkhidmatan SMS 15888 dan MMD Hotline di talian 1 300 22 1MET (1638). – 11 November 2017.