PM Ketuai Delegasi Malaysia Sidang Kemuncak Asean

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Asean Ke-31 di Manila, pada 13 hingga 14 November ini.

Sidang kemuncak itu memberi peluang kepada para pemimpin untuk saling bertukar pandangan mengenai hala tuju serta hubungan luar Asean selain isu-isu serantau dan antarabangsa.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, Perdana Menteri akan diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed ke sidang kemuncak itu.

Memandangkan tahun ini merupakan ulang tahun bersejarah ke-50 Asean, Sidang Kemuncak ke-31 itu memberi peluang kepada para pemimpin ASEAN untuk membincangkan mengenai pelaksanaan Asean 2025: Forging Ahead Together, hala tuju yang selaras dengan usaha berterusan ke arah pembinaan komuniti bagi memastikan Komuniti Asean bersepadu, aman, stabil dan berdaya tahan.

Menurut kenyataan itu, Najib dan pemimpin lain ASEAN juga dijadual menghadiri Sidang Kemuncak Asean Campur Tiga, Sidang Kemuncak Asia Timur dan Sidang-Sidang Kemuncak Asean Campur Satu dengan setiap negara melibatkan Kanada, Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat, China, Republik Korea, India, Jepun serta Pertubuhan Bangsa Bersatu.

“Asean juga akan menyambut Ulang Tahun Peringatan ke-40 dengan Amerika Syarikat, Kanada serta Kesatuan Eropah, yang dalam hubungan ini, Filipina selaku Pengerusi ASEAN akan menganjurkan Sidang Kemuncak Peringatan dengan setiap negara itu.

Bagi menyambut Ulang Tahun ke-50 Asean pula, Filipina dijangka mengadakan Sambutan Gala Khas Ulang Tahun Ke-50 Asean pada 12 Nov ini,” kata kenyataan itu.

Najib dan pemimpin-pemimpin lain ASEAN juga dijadual menghadiri ‘Interface with Asean Business Advisory Council’, ‘APT Leaders Interface with East Asia Business Council (EABC)’ dan Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP).

Menurut kenyataan itu, perdana menteri akan mengadakan beberapa mesyuarat hubungan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Asean serta negara-negara Rakan Dialog yang berselang seli dengan Sidang-Sidang Kemuncak Asean. – 11 November 2017.