Kafa Gugur Separuh Pemain Lama

Kelantan melakukan perubahan drastik dengan menggugurkan hampir separuh pemain lama untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, sehingga kini seramai 20 pemain telah disenaraikan untuk membarisi pasukan Kelantan pada musim hadapan.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, hanya seorang pemain import yang dikekalkan bersama pasukan, iaitu Morgaro Gomis.

“Majoriti pemain yang membarisi pasukan Kelantan pada musim hadapan adalah pemain muda yang terdiri daripada skuad piala presiden.

“Manakala pemain senior tidak ramai yang dikekalkan dan tiga pemain iaitu kapten Mohd. Badhri Radzi, Mohd. Norfarhan Muhammad dan Indra Putra Mahayudin masih dalam rundingan,” katanya dalam sidang media di Wisma Kafa di sini hari ini.

Antara muka lama yang kekal bersama The Red Warriors (TRW) musim depan ialah Khairul Fahmi Che Mat, Faizol Nazlin Sayuti, Farisham Ismail, Faris Shah Rosli serta kepulangan semula pemain yang dipinjamkan kepada Ne­geri Sembilan, Nik Mohd. Shahrul Azim Ab. Halim.

Skuad itu juga diperkukuhkan dengan kehadiran pemain Piala Presiden iaitu Mohd Danial Asyraf Abdullah, Nik Azli Nik Alias, Nik Akif Syahiran Nik Mat, Mohd. Syaiful Alias dan Mohd. Imran Samso.

Manakala antara pemain senior yang digugurkan adalah Nor Hafiz Zamani Misbah, Daudsu Jamaluddin, Zairul Fitri Ishak, S. Subramanian, Aziz Ismail, Hasmizan Kamaruddin dan tiga pemain import.

Dalam pada itu, Afandi berkata, pihaknya juga akan melaksanakan sesi penilaian kepada pemain luar dari Kelantan yang ingin menyertai TRW nanti.

“Pemain mesti melalui proses penilaian jurulatih terlebih dahulu. Itu adalah perkara utama,” katanya. – 12 November 2017.