PRU14 Tahun Depan

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi membayangkan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan diadakan tahun depan.

Bayangan itu sekali gus menamatkan spekulasi bahawa PRU14 akan diadakan pada tahun ini.

Pada masa sama, Ahmad Zahid meminta anggota parti mempersiapkan jentera bagi menghadapi pilihan raya itu.

“Kita berusaha dengan sebaik-baiknya dan saya yakin dalam PRU14 pada tahun hadapan, jika bekerja kuat, kita memperkasa jentera pilihan raya untuk memberi kemenangan kepada BN (Barisan Nasional) di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Persidangan ke-46 Perwakilan Nasional Gerakan di Menara PGRM di Kuala Lumpur hari ini

Beliau berkata, PRU14 akan diadakan dalam tempoh 180 hari akan datang dan setiap anggota parti perlu bersiap siaga untuk menghadapinya.

Sebelum ini, pilihan raya diramalkan akan diadakan menjelang akhir tahun ini, namun pemerhati politik meramalkan ia akan diadakan pada Mac atau April tahun depan, selepas perayaan Tahun Baharu Cina.

Tempoh matang bagi penggal ini hanya akan berakhir pada Ogos tahun depan dengan tempoh masa 60 hari selepas Parlimen dibubarkan. – 12 November 2017.