Sistem Apungan Minyak Dikekalkan

Sistem apungan minyak mentah akan dikekalkan pada kadar harga dagangan minyak mentah dunia, yang kini pada paras US$63 setong.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pada 2008, harga minyak mentah dunia mencecah US$140 setong dan RON95 ketika itu berharga RM2.70 seliter berbanding RM2.31 seliter sekarang.

“Apabila ia naik sampai satu peringkat di mana kita (kerajaan) perlu buat perbincangan, kita akan buat perbincangan. Setakat hari ini, jauh lagi, kerana kita harus ingat bahawa dahulu (pernah mencapai paras) US$140 setong,” katanya.

Johari berkata, turun naik harga minyak mentah dunia adalah di luar kawalan kerajaan.

“Apa yang boleh dilakukan kerajaan ialah pantau, agih Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) serta menimbang bantuan bagi mereka berpendapatan rendah agar tidak jatuh ke paras kemiskinan,” katanya.

Katanya, skim pengapungan akan dikekalkan kerana harga minyak mentah dunia adalah luar kawalan kerajaan.

Beliau berkata, kenaikan harga minyak mentah ditentukan pasaran dunia.

“Ia (harga) masih jauh daripada harga pernah kita tengok dan pada masa ini masih boleh dikawal iaitu RM2.31 seliter,” katanya. – 12 November 2017.