TPP Berjaya Diteruskan

Photo Bernama

Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang kini dianggotai 11 negara membuktikan perjanjian perdagangan itu tidak terkubur selepas pengunduran Amerika Syarikat (AS), apabila mencapai persetujuan untuk meneruskannya dengan nama baharu Perjanjian Komprehensif dan Progresif TPP (CPTPP).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa lega dan gembira dengan perkembangan terbaharu itu dan menyifatkannya sebagai satu lonjakan imej kepada TPP, selepas digembar-gemburkan oleh media antarabangsa sebagai ‘pakatan gagal’ ekoran masalah yang tidak diduga semalam.

Mesyuarat peringkat ketua-ketua kerajaan yang dijadual berlangsung di luar Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2017 petang semalam, terpaksa dibatalkan di saat-saat akhir, apabila Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau tidak hadir ‘tanpa notis awal’.

“Kita ada komitmen moral dalam kalangan 11 negara anggota. Selepas ini akan ada program kerja dan Malaysia akan terus mempertahankan yang kita perlu iaitu dasar ekonomi sosial seperti keutamaan bumiputera dan soal kesihatan awam. Kita mahu menyelesaikan isu dan memeterai TPP,” katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan kerja tiga hari beliau di Vietnam sempena APEC 2017.

Perdana Menteri turut mengulangi penegasan yang dibuat sebelum ini bahawa, persetujuan yang dicapai oleh Malaysia terhadap senarai peruntukan yang dimuktamadkan TPP tidak sekali-kali menggadaikan agenda nasional terutama berkaitan dasar sosial yang sensitif berkaitan bumiputera dan syarikat hak milik negara.

Selepas beberapa hari menemui jalan buntu, 11 negara anggota TPP yang bermesyuarat sejak dua hari lalu dari pagi hingga lewat malam, akhirnya bersetuju memuktamadkan perjanjian perdagangan itu dengan mengeluarkan kenyataan bersama.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, persetujuan dicapai berhubung elemen teras dalam CPTPP.

Kenyataan tersebut mengandungi dua lampiran iaitu pertama, garis panduan perjanjian TPP baharu mengandungi tujuh perkara, yang menggabungkan peruntukan daripada perjanjian asal manakala, lampiran kedua pula menyenaraikan 20 peruntukan yang digantung di samping empat perkara khusus yang menunjukkan kemajuan rundingan.

CPTPP akan mengekalkan standard yang tinggi, adil dan berintegriti demi memastikan kepentingan komersial dan perkara lain untuk semua negara bagi mengekalkan hak untuk mengawal, termasuk bertolak ansur dalam soal keutamaan ketika mahu mengadakan peraturan dan perundangan.

Terdahulu, ketika mengulas ketidakhadiran Trudeau, dalam sidang akhbar tengah malam tadi, Perdana Menteri berkata, ketua-ketua negara anggota yang lain pada dasarnya memahami keadaan beliau yang mungkin menghadapi tekanan politik dalaman di negaranya.

Najib berkata, keadaan itu memang tidak dijangka kerana tidak ada petunjuk bahawa akan berlaku masalah dalam jadual TPP-11 petang semalam.

Tambahan pula ujarnya, tidak ada alasan spesifik yang diberikan oleh Kanada.

“Namun kebanyakan ketua TPP percaya masalahnya lebih politikal daripada substantif dan ada kaitannya dengan masalah politik dalaman negara itu,” ujarnya.

Perdana Menteri berkata, dalam hal ini, ketua-ketua pakatan perdagangan itu secara umumnya memahami bahawa ada dua elemen yang perlu diberi perhatian oleh anggota TPP iaitu pertama, aspek substantif dan satu lagi dari segi penerimaan politik.

“Ada pihak yang kata, mereka kena tunggu sebab mereka ada soal politik domestik yang perlu dihadapi dan tangani terlebih dahulu.

“Saya percaya keinginan mereka ialah untuk menyertai TPP tetapi mereka tidak dapat ambil risiko penentangan pengundi-pengundi tempatan dalam hal ini,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, seperti Kanada dan negara lain, Malaysia juga mempunyai tuntutan-tuntutan yang diperjuangkan mengikut keperluan dan kepentingan rakyat. – Mingguan Malaysia, 12 November 2017.