PDRM Wujud Pasukan Khas Operasi Banjir

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mewujudkan pasukan khas yang dianggotai oleh 1,000 anggota dan pegawai untuk digerakkan bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, pasukan khas itu kini telah ditempatkan di beberapa lokasi di seluruh negara.

“Pasukan ini akan bergerak segera apabila berlakunya banjir kerana segala aset berkaitan sudah berada dalam keadaan siap sedia.

“Pada musim banjir ini, pusat kawalan Malaysia dibuka 24 jam bagi melancarkan lagi operasi,” katanya dalam sidang media selepas Lawatan Kerja ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubor.

Dalam perkembangan berasingan, Zulkifli memberitahu, PPM Kelantan telah merampas barangan seludup bernilai RM8.7 juta di antara Januari hingga Oktober lalu.

“Nilai rampasan berkenaan mencatatkan peningkatan berbanding tahun lalu dan ini adalah kejayaan kita mencegah jenayah rentas sempadan.

“Kita juga akan melihat kerjasama seterusnya dengan Thailand dalam usaha meningkatkan keselamatan di sempadan daripada kemasukan barangan seludup termasuk dadah, senjata api serta elemen ekstrem seperti Daesh,” katanya. – 13 November 2017.