Bajet 2018 Tolak, Peruntukan Banjir Hendak

Kerajaan kecewa dengan pembangkang yang menolak Bajet 2018 semasa rang undang-undang perbekalan itu dikemukakan untuk pengundian semalam, namun pada masa sama mereka meminta peruntukan bantuan banjir.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, bajet yang dibentangkan Perdana Menteri baru-baru ini termasuk peruntukan untuk menangani banjir.

“Yang berhormat minta peruntukan (banjir) tetapi tak sokong bajet semalam? Sepatutnya disokong.

“Saya kesal pembangkang menentang belanjawan semalam termasuk peruntukan membantu mangsa banjir,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Semasa pembentangan Bajet 2018 pada 27 Oktober lepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan RM517 juta untuk rancangan tebatan banjir di seluruh negara.

Bajet 2018 semalam diluluskan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat dengan 107 daripada 222 ahli Parlimen menyokong.

Sebanyak 59 ahli Parlimen pembangkang menolaknya, manakala 11 daripada PAS berkecuali. – 14 November 2017.