PAS Mengingatkan PAN Agar Keluar Dengan Berhemah

Kosongkan segera Wisma Tok Guru di Salor memandangkan notis pengosongan dikeluarkan pemilik yang sah telah pun tamat tempoh. Keluarlah dengan bermaruah.

Itu peringatan Setiausaha PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi kepada PAN Kelantan.

Che Abdullah berkata, tarikh akhir sebenar notis pengosongan premis itu yang dikeluarkan oleh pemiliknya, Mohamad Yasin Yusof adalah pada 12 November 2017.

Katanya, selepas tempoh itu berakhir, tidak ada wakil PAN Kelantan datang bertemu Mohamad Yasin meminta sebarang penangguhan atau melakukan rundingan baharu.

“Apabila tidak ada pihak datang berunding minta lanjutkan tempoh lagi, jadi kita kira mereka tidak berminat untuk terus menduduki bangunan itu.

“Apabila tiada perbincangan baharu, maka keluarlah dengan bermaruah. Kena ada rasa malu pada masyarakat kalau duduk dalam bangunan milik orang lain tanpa ada perbincangan apa-apa,” katanya.

Isu berkaitan Wisma Tok Guru timbul selepas PAS Kelantan melalui seorang ahlinya membeli tanah premis berkenaan dengan harga RM700,000 dan menggesa PAN supaya mengosongkan bangunan itu.

Bagaimanapun PAN yang selama ini menjadikan bangunan tersebut sebagai markas dilaporkan tetap berkeras tidak akan mengosongkan Wisma Tok Guru selagi tidak ada keputusan daripada mahkamah berhubung kes berkenaan.

Pada sebelah malam 16 November ini, dijangkakan lebih 5,000 ahli dan penyokong PAS akan berkumpul di Wisma Tok Guru bagi menyertai majlis kesyukuran dan solat hajat perdana.

Sementara itu, Pengerusi PAN Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah mengakui pihaknya hanya ‘menumpang’ dan tidak mempunyai sebarang kepentingan terhadap premis berkenaan.

Kata beliau, pertikaian berhubung hak milik Wisma Tok Guru tidak melibatkan parti, sebaliknya membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Datuk Husam Musa semata-mata dengan PAS.

“Perkara ini sudah dikemukakan di mahkamah, jadi pihak peguam minta kita yang tidak begitu arif ini supaya berhati-hati, tidak boleh komen banyak, tunggu keputusan nanti macam mana.

“Kena tanya Datuk Husam sebab Amanah Kelantan tidak ada kepentingan. Kita didaftarkan di Sungai Keladi. Jadi tidak ada pejabat di sini dan kita cuma menumpang untuk mengadakan program,” katanya. – 13 November 2017.