Wanita Vietnam Ditahan Sekali Lagi

Seorang wanita warganegara Vietnam yang didakwa atas tuduhan memberi rasuah kepada dua pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ditahan sekali lagi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Tahanan ke atas wanita itu bagi membantu siasatan satu lagi kes sogokan kepada pegawai APMM.

Menurut sumber SPRM, wanita berusia 41 tahun yang dikenali sebagai Tran Thi Mai ditahan di pejabat SPRM Pahang pada pukul 12.10 tengah hari.

“Suspek dipercayai memberi rasuah berjumlah RM890,000 melalui lima transaksi sepanjang tahun ini kepada pegawai APMM.

“Perbuatan itu sebagai balasan untuk melepaskan bot-bot Vietnam yang ditahan oleh pihak APMM di perairan Malaysia atas beberapa kesalahan,” katanya ketika dihubungi agensi berita nasional.

Kata sumber itu, suspek akan dibawa ke Mahkamah Putrajaya hari ini untuk perintah tahanan reman.

Dalam pada itu katanya, SPRM kini sedang mengenal pasti pemilik bot yang telah dilepaskan dan melakukan siasatan berhubung pemilikan nombor pendaftaran bot yang dipalsukan.

“SPRM sedang mendapatkan keterangan saksi-saksi awam untuk mengenal pasti ejen kerajaan yang bersekongkol,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu namun enggan mengulas lanjut.

Jumaat lalu, Tran didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan kerana menawarkan wang tunai RM800,000 kepada seorang pegawai SPRM yang menyamar sebagai orang tengah untuk diserahkan kepada Kapten Nurul Hizam Zakaria dan Kapten Amran Daud pada pukul 9.40 pagi, 5 November lalu.

Bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah dan pendakwa menetapkan jaminan RM100,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia bersama syarat tambahan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh melaporkan diri ke balai polis Kuantan, setiap bulan.

Sebutan semula kes itu ditetapkan 11 Disember depan. – 15 November 2017.