Wisma Tok Guru; Permohonan Husam Ditolak

Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini menolak permohonan injuksi yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Datuk Husam Musa terhadap pemilik baharu tanah di Wisma Tok Guru di Kampung Pendek, Salor, Mohd. Yasin Yusoff.

Keputusan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Bache selepas mengambil kira hujah dan keterangan kedua-dua pihak.

“Mahkamah membuat keputusan ini dengan mengambil kira fakta paling penting iaitu defendan (Mohd Yasin Yusoff) selaku pemilik tanah mempunyai hak kerana sudah membayar serta membeli hartanah itu secara sah.

“Dengan itu, permohonan injuksi ditolak dengan kos RM7,000 yang dibayar oleh plaintif,” katanya.

Husam yang juga Naib Presiden PAN dalam injuksinya memohon perintah mahkamah agar Wisma Tok Guru tidak diganggu sehingga status quo pemilikan bangunan berkenaan diputuskan mahkamah hasil perbicaraan bermula 4 Disember ini.

Sementara itu, solat hajat dan majlis kesyukuran yang dijadualkan diadakan di Wisma Tok Guru pada malam ini akan diteruskan seperti biasa. – 16 November 2017.