Sarjan Terima Rasuah Direman Enam Hari

Seorang anggota polis berpangkat sarjan direman enam hari selepas didakwa meminta dan menerima rasuah sebanyak RM2,000 daripada seorang suspek dadah.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 29 tahun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret, Nor Faizah Abdullah kira-kira pukul 11.30 pagi semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009.

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Datuk Moh Shamsudin Yusof berkata, anggota yang bertugas di Bahagian Narkotik itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli, kira-kira pukul 1 tengah hari kelmarin.

Beliau berkata, suspek ditahan kerana didakwa meminta dan menerima rasuah berjumlah RM2,000 sebagai balasan menyelesaikan kes saringan air kencing daripada seorang suspek yang positif dadah.

“Anggota polis itu ditahan selepas kita menerima laporan daripada keluarga suspek dadah berkenaan,” katanya. – 17 November 2017.