Bukan Dendam, PAS Hanya Pertahankan Hak

Perjuangan PAS untuk mendapatkan kembali Wisma Tok Guru bukan disebabkan dendam kepada individu tertentu sebaliknya demi maruah dan mempertahankan hak yang telah dirampas.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya merasa bertanggungjawab dan keperluan untuk mengambil balik bangunan yang difahamkan dibina daripada hasil sumbangan penyokong serta ahli PAS.

Malah katanya, sesiapa sahaja akan melakukan perkara sama apabila sesuatu yang menjadi milik mereka telah dibawa lari.

“Dulu ini (Wisma Tok Guru) adalah markas PAS di Salor dan difahamkan hasil sumbangan orang ramai membolehkan bangunan ini dibina dan kini dibawa lari oleh PAN.

“Oleh kerana tanah ini ada pemilik, maka kita terpaksa beli untuk kembali menjadi milik kita. Daripada segi politik, jumlah yang dibeli itu tidak mahal,” katanya.

Kelmarin Mahkamah Tinggi Kota Bharu menolak permohonan injunksi yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Datuk Husam Musa terhadap pemilik baharu tanah di Wisma Tok Guru tersebut, Mohd. Yasin Yusoff.

Husam yang juga Naib Presiden PAN dalam injunksinya memohon perintah mahkamah agar Wisma Tok Guru tidak diganggu sehingga status quo pemilikan bangunan berkenaan diputuskan mahkamah hasil perbicaraan bermula 4 Disember ini.

Isu perebutan itu bermula susulan tanah yang asalnya milik bekas ADUN Salor, Allahryarham Datuk Ahmad Rosli Ibrahim yang dinamakan atas isterinya sebagai pemilik dijual kepada Mohd. Yasin yang juga Setiausaha Kerja PAS Kelantan dengan harga RM700,000. – 18 November 2017.