Bunuh, Suspek Sembunyi Di Thailand?

Suspek utama kes pembunuhan kejam tiga beranak di sebuah rumah di Taman Bahagia, Kota Bharu pada Rabu lalu dipercayai bersembunyi di negara jiran.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Fakri Che Sulaiman berkata, polis akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi mengesan suspek.

Katanya, pihaknya juga sudah mengedarkan gambar suspek di kawasan pintu sempadan dan media sosial bagi memudahkan usaha tersebut.

“Ada kemungkinan dia (suspek) bersembunyi di negara jiran. Kita akan menggunakan hubungan kerjasama dengan Polis Golok dan pihak keselamatan di Thailand untuk bantu kesan suspek.

“Kita harap suspek akan dapat ditangkap secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi.

Dalam kejadian Rabu lalu, pasangan suami isteri yang menjalankan perniagaan alat perkakasan, Kha Eng Ni, 42, dan isterinya, Chua Joo Seok, 37, ditemukan mati selepas ditikam beberapa kali di dada serta badan dengan pisau dan besi tajam di sebuah di taman berkenaan.

Manakala seorang lagi anak mangsa, Kha Zee Hanz, 13, terbunuh akibat hentakan kuat di kepala dengan tukul oleh suspek, Sharat Eh Wang @ Pot, 31, yang bekerja sebagai pemandu van dengan pasangan suami isteri tersebut.

Sementara itu, Mohd. Fakri turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek agar segera memaklumkan kepada polis. – 17 November 2017.