Anak Seorang Wakil Rakyat Di Kelantan Ditahan Miliki Pil Kuda

Anak lelaki seorang wakil rakyat di Kelantan ditahan polis setelah dipercayai memiliki 200 butir pil kuda di hadapan sebuah rumah di Jalan Pasir Mas – Salor, Kampung Jelutong semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang, suspek berusia 29 tahun ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu.

Ketika mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, suspek dibawa ke Mahkamah Kota Bharu untuk mendapatkan perintah reman.

“Suspek direman selama empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan berhubung penemuan 200 pil kuda di poket hadapan sebelah kanan seluar panjang yang dipakainya,” katanya. – 19 November 2017.